Tuesday, August 26, 2008

... PKR pertahan kerusi Permatang Pauh...

BUKIT MERTAJAM 26 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan penguasaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya kecil kawasan itu hari ini dengan majoriti 15,671 undi.
Jumlah itu lebih besar berbanding 13,388 undi majoriti yang diperoleh PKR pada pilihan raya umum Mac lalu melalui isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar, 61, yang memperoleh 31,195 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah, 52, yang meraih 15,524 undi.
Seorang lagi calon, Hanafi Mamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hanya mendapat 92 undi. Hanafi hilang wang pertaruhan.
Anwar semasa berucap kepada ribuan penyokongnya selepas pengumuman keputusan itu berkata, ia merupakan kemenangan rakyat.
Beliau turut mengulangi hasratnya untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru bersama pakatan pembangkang bagi mentadbir negara.
Katanya, keputusan pilihan raya itu merupakan isyarat awal ke arah mencapai matlamat tersebut.
Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan oleh pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Permatang Pauh, Roslan Yahaya pada pukul 10.05 malam ini di pusat penjumlahan undi Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini.
Sebanyak 38,144 atau 65.25 peratus daripada keseluruhan 58,459 pengundi keluar mengundi walaupun cuaca tidak menentu dengan hujan renyai-renyai pada tengah hari.
Sebanyak 490 anggota polis telah membuang undi secara pos Sabtu lalu.
Pilihan raya kecil Permatang Pauh diadakan berikutan peletakan jawatan Wan Azizah pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada Anwar yang juga Penasihat PKR bertanding di kawasan itu.
Anwar merupakan penyandang kerusi itu dari 1982 sehingga beliau dipecat dari UMNO dan kerajaan pada 1998.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR sejak pilihan raya umum 1999.

No comments: